Peniaga lambat jawab mesej, kita rasa nak marah.
Pemandu depan tak bagi signal, kita hon panjang nak beritahu kita marah.
Restoren lambat siapkan makanan, kita rasa nak terbalikkan meja.

“ALLAH SWT mengurniakan manusia satu kekuatan untuk menpertahankan diri, iaitu perasaan marah.”
Namun, marah yang tidak mampu dikawal boleh menjadi punca kepada banyak kerosakan.
Sedikit refleksi daripada seorang ibu kepada tiga orang cahaya mata.
Ketika baru ada seorang anak, suara saya jarang kedengaran. Tetapi bila anak sudah tiga, hampir setiap hari akan jadi ‘gorgon’.
Rasa terlalu susah mahu kawal rasa marah, ditambah pula dengan sikap cepat panik, situasi selalu menjadi semakin rumit.
Sampai satu tahap, saya memaksa diri untuk masuk satu kelas dalam talian. Di situ, saya belajar satu skil untuk berhenti sekejap dan bertenang.
Sama seperti yang Ustaz tulis, sifat amarah ini sebenarnya fitrah manusia. Namun, ia dibentuk oleh kebiasaan. Kita yang didik diri untuk cepat marah.
Di sinilah kita perlu melatih diri untuk diam, bertenang dan berfikir dahulu sebelum bertindak ketika berhadapan dengan situasi genting.
Perbuatan bertenang ini yang selalu dipraktikkan ini lama kelamaaan akan menjadi rutin/habit dalam hidup kita.
Tipulah jika saya kata sudah mampu kawal marah 100%, tetapi banyak keadaan yang menghalang saya daripada bertindak melampaui batas.
Saya sedar, dengan menghamburkan kemarahan dekat anak-anak bukanlah satu solusi yang baik dan berjaya.
Anak-anak hanya akan takut, tidak lagi hormat. Pada waktu lain, mereka tetap akan mengulangi kesalahan yang sama lagi dan lagi.
Masuk Bab 3, baru tahu rupanya ayat La Taghdab, judul salah satu buku dari Siri Sejenak terbitan Jejak Tarbiah ini merupakan nasihat junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW kepada seorang lelaki untuk dipegang erat.
Kata Nabi, “Jangan marah.”
Dan baru tahu juga rupanya penulis buku, Ustaz Addien menintakan naskhah ini sebagai usaha untuk mengawal kemarahan beliau.
Dan kami sebagai pembaca, akan buka buku ini dan hadam isinya untuk mengawal amarah kami.
Penulis membahagikan golongan pemarah kepada empat jenis;
- Lambat marah, cepat reda
- Cepat marah, cepat reda
- Lambat marah, lambat reda
- Cepat marah, lambat reda
Setiap jenis marah ini disertai dengan penjelasannya sekali. Jenis yang paling buruk ialah cepat marah dan lambat pula reda.
Saya?
Entahlah. Takut tergolong dalam jenis paling buruk punya marah itu.
Bahagian yang paling memberi kesan di hati apabila penulis menerangkan, sebagai manusia Nabi SAW juga pernah marah.
Namun baginda hanya marah apabila agama dipersenda, dan saat urusan agama dijadikan berat sehingga menyusahkan orang ramai.
Pun begitu, kemarahan yang paling manusia perlu takutkan adalah kemurkaan ALLAH Azzawajalla.
Wallahua’lam.
